
Kredit Foto : FB Menteri KPDN
PUTRAJAYA, 10 Mac 2025 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkukuh prosedur operasi standard (SOP) penyiasatan berkaitan isu percampuran beras putih import (BPI) dengan beras putih tempatan (BPT) di pasaran. Langkah ini diambil susulan pertemuan petang ini bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi membincangkan dapatan kajian berkaitan isu tersebut.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pihaknya akan menguatkuasakan Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab membuat perihal dagangan palsu berkaitan kandungan, jenis, dan pelabelan beras. Beliau menegaskan, kesalahan seperti penyelewengan penjualan beras melalui pertukaran bungkusan atau label yang boleh mengelirukan pengguna akan ditangani dengan tegas.
“Analisa sampel beras menjadi aspek penting dalam menentukan perbezaan antara BPI dan BPT. Dengan kepakaran MARDI melalui Teknologi Pencapjarian DNA Beras, KPDN akan menjadikan MARDI sebagai pihak berwibawa dalam usaha ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau.
Selain itu, KPDN turut bekerjasama dengan Jabatan Kimia Malaysia bagi memastikan SOP penyiasatan merangkumi pengurusan ekshibit sampel beras dan kebolehterimaan barang bukti di mahkamah dapat dilaksanakan dengan efektif. Datuk Armizan menjelaskan, usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen KPDN untuk melindungi kepentingan pengguna serta menyokong agenda Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam memperbaiki industri padi dan beras negara.
“KPDN komited untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan berkaitan perihal dagangan palsu dalam isu beras campuran ini,” tambahnya.
Katanya lagi, pertemuan bersama MARDI dan kerjasama strategik dengan Jabatan Kimia Malaysia dijangka memperkukuh lagi keberkesanan penguatkuasaan di bawah Akta 730, sekaligus memastikan integriti pasaran beras tempatan terpelihara.