

PAPAR, SABAH, 8 MAC 2025 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini mengumumkan pelaksanaan Program Servis Ihsan Madani@PETRONAS AutoExpert (SIM@PAX) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025.
Program ini, yang merupakan inisiatif di bawah agenda Payung Rahmah Madani, pertama kali diperkenalkan pada 24 Januari 2025 bersempena Tahun Baharu Cina, dan kini diperluaskan untuk memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat Malaysia.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, SIM@PAX adalah hasil kerjasama strategik antara KPDN dan PETRONAS yang bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah mengurangkan beban kos sara hidup.
“Program ini menawarkan diskaun antara 10 hingga 30 peratus untuk servis kenderaan dan minyak pelincir jenis mineral serta semi sintetik, jauh lebih rendah berbanding harga pasaran,” katanya ketika berucap di Papar, Sabah.
Bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri, SIM@PAX akan diperluaskan dengan menawarkan perkhidmatan servis dan minyak pelincir khusus untuk kenderaan diesel. Langkah ini diambil untuk memanfaatkan pengguna kenderaan diesel, terutamanya di Sabah dan Sarawak, serta peniaga kecil yang bergantung kepada kenderaan seperti trak pikap.
Program ini akan berlangsung selama 15 hari, dari 15 hingga 29 Mac 2025, melibatkan 96 bengkel PETRONAS AutoExpert di seluruh negara. Orang ramai boleh menyemak lokasi bengkel terlibat di laman sesawang www.mymesra.com.my dan membuat tempahan melalui aplikasi Setel mulai hari ini.
Dalam pada itu, KPDN turut melancarkan Program Ikhlas Ramadan bersama Gas PETRONAS hari ini dengan menyumbangkan silinder gas kepada 100 peniaga Bazar Ramadan Tapak Tamu Mingguan di Papar, Sabah.
Sumbangan ini termasuk penukaran silinder gas secara percuma sebanyak dua kali bagi setiap penjaja yang terlibat.
“Sambutan hangat terhadap SIM@PAX sebelum ini membuktikan inisiatif ini benar-benar membantu rakyat. Kami komited untuk terus memperluas manfaat kepada lebih ramai golongan,” tambah
Armizan.