

PUTRAJAYA, 7 Mac 2025 – Jemaah Menteri hari ini mengadakan mesyuarat bagi membincangkan pelbagai isu semasa, termasuk penularan hasutan berkaitan perkauman dan agama di platform media sosial yang kini menjadi perhatian serius.
Perdana Menteri dalam mesyuarat tersebut telah mengeluarkan amaran keras dengan mengarahkan semua agensi penguatkuasaan dan keselamatan bertindak pantas, berkesan serta tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati cuba mencetuskan provokasi menggunakan isu sensitif berkaitan kaum atau agama.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Fahmi Fadzil, yang juga Menteri Komunikasi, dalam kenyataan rasmi berkata, tindakan tegas ini bertujuan memastikan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia terus terpelihara.
Beliau turut menyeru semua pihak agar memupuk semangat persefahaman dan saling menghormati, sambil mematuhi undang-undang demi menjamin kesejahteraan bersama.
“Kita tidak akan bertolak ansur dengan sebarang usaha yang boleh menggugat kestabilan negara. Perpaduan adalah asas kekuatan kita,” tegas Fahmi dalam kenyataannya.
Kerajaan menegaskan komitmen untuk terus memantau situasi dan memastikan tindakan sewajarnya diambil bagi mengekang penyebaran hasutan yang boleh memecahbelahkan masyarakat.