
PUTRAJAYA, 7 Mac 2025 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pagi tadi mengadakan taklimat khas bersama Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, berhubung gangguan bekalan minyak masak sawit tulen kemasan botol yang melanda pasaran. Turut hadir dalam taklimat tersebut ialah Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dalam satu kenyatan hari ini, gangguan bekalan tersebut dikenal pasti berpunca daripada kenaikan kos pengeluaran susulan lonjakan harga minyak sawit mentah dunia (CPO) yang telah meningkat sejak dua tahun lalu.
Berdasarkan data, harga purata CPO bagi Januari 2025 mencatatkan RM4,672.50 setan, sebelum meningkat kepada RM4,759.00 pada Februari 2025. Harga CPO yang tinggi secara berterusan ini telah memaksa syarikat pembungkus minyak masak botol mengurangkan pengeluaran bagi mengawal kos, memandangkan mereka terikat dengan perintah kawalan harga maksimum.
“Sebagai contoh, minyak masak kemasan botol 5 kilogram dijual pada harga runcit RM30.90, jauh lebih rendah berbanding harga pasaran dunia iaitu RM36.16.” jelas Armizan.
Berikutan taklimat tersebut, Perdana Menteri memutuskan bahawa langkah intervensi segera perlu dilaksanakan untuk menstabilkan bekalan minyak masak kemasan botol di pasaran.
“Antara tindakan serta-merta yang diumumkan termasuk cadangan pemberian insentif khas kepada syarikat pembungkus minyak masak botol. Insentif ini bertujuan memastikan syarikat-syarikat tersebut dapat meningkatkan pengeluaran dengan segera bagi memenuhi permintaan pasaran.” kata Armizan.
KPDN telah diarahkan untuk berbual lanjut dengan syarikat pembungkus bagi memastikan pengeluaran kembali kepada tahap yang mencukupi. Selain itu, usaha penguatkuasaan turut diperketatkan untuk membanteras aktiviti penyorokan (hoarding) dan penyelewengan bekalan minyak masak di semua peringkat.
“KPDN akan memastikan keputusan hari ini dilaksanakan dengan segera oleh syarikat terlibat agar pengeluaran minyak masak kemasan botol dapat ditingkatkan serta-merta.
“Kami menyasarkan bekalan dapat stabil semula dalam masa terdekat.” kata Armizan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan atas tindakan pantas dalam mempertimbangkan peruntukan insentif khas ini. Langkah ini dilihat penting untuk memastikan rakyat terus mendapat bekalan minyak masak yang mencukupi, terutama menjelang Ramadan dan Syawal.