
Kredit Foto : FB Rasmi Menteri Dalam Negeri
PUTRAJAYA 5 Mac 2025 – Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Pakatan Harapan (PH) Negeri Perak telah mengadakan pertemuan, dan keputusan dibuat untuk menjadi pendokong Barisan Nasional (BN) dalam mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Sebagai Ketua Setiausaha PH, beliau menerima arahan langsung daripada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memulakan persiapan.
“Kerusi itu adalah milik penyandang BN melalui UMNO, jadi PH akan memainkan peranan sokongan dalam Kerajaan Perpaduan Negeri Perak,” jelasnya di sidang media sempena Majlis Iftar Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang diadakan di sini semalam.
Menurut beliau, jentera PH di peringkat pusat dan negeri akan diaktifkan mengikut prosedur operasi standard (SOP), termasuk mengurus logistik dan pembahagian tugas.
“Keputusan ini selari dengan kerjasama perpaduan di peringkat Persekutuan dan negeri. Tiada teka-teki lagi—kita sokong penyandang,” tegas Saifuddin.