
Kredit Foto : FB Rasmi Menteri Dalam Negeri
PUTRAJAYA 5 Mac 2025 – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan penemuan mayat seorang pegawai di Kementerian Kewangan (MOF) pada pagi hari ini.
Dalam sidang media sempena Majlis Iftar Kementerian Dalam Negeri (KDN), beliau berkata maklumat awal telah diterima, namun tiada komen lanjut dapat diberikan pada peringkat ini.
“Pagi tadi, saya boleh sahkan kejadian itu berlaku. Penemuan mayat tersebut dilaporkan pada hari ini, dan proses seterusnya akan diambil alih oleh pihak polis untuk mengenal pasti punca kematian serta menjalankan siasatan menyeluruh,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa masih terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi, dan pihak polis akan mengeluarkan maklumat lanjut sekiranya perlu.
“Kita serahkan kepada pasukan polis, dan Insya-Allah, perkembangan siasatan akan dikongsi apabila sesuai,” tambahnya.