

Projek 100 Lagu 100 Tahun adalah satu penerbitan baru melahirkan semula warisan muzik Melayu dengan menghimpunkan 100 lagu ikonik yang telah mewarnai industri muzik tanah air serta pernah memberi dampak yang mengesankan, dalam satu abad, agar dapat dipersembahkan kembali untuk tatapan generasi muda hari ini.
Projek 100 Lagu 100 tahun ini juga diharapkan dapat menjadi koleksi khazanah seni yang bernilai bagi memperlihatkan evolusi dan keunggulan muzik dan lagu-lagu yang ditampilkan kembali dalam versi kontemporari oleh artis-artis popular tanahair tanpa mengubah keaslian lagu-lagu ini.

Cetusan ide projek adalah daripada Prof Emeritus Dato Seri Dr Mohamad Mustafa Bin Ishak, Pengerusi Eksekutif, World Business Affairs Sdn Bhd dan juga Dr Azmeer, komposer dan produser terkenal, ketika Prof Emeritus Dato Seri Mohamad Mustafa adalah naib canselor Universiti Utara Malaysia lagi daripada tahun 2016-2017. Tertangguh kerana atas beberapa faktor namun berjaya direalisasikan apabila projek ini berjaya mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi Digital dan Multimedia ketika itu menerusi Dana Kandungan Kreatif pada tahun 2021.
Projek 100 Lagu 100 Tahun akan dibahagikan kepada 4 vol (setiap vol 25 lagu) yang akan diterbitkan secara audio, visual, dan juga penerbitan buku meja kopi yang mengimbau kembali sejarah , latar belakang penciptaan dan lirik serta persembahan dan dampak lagu-lagu ini dalam masyarakat di ketika lagu-lagu ini mula diterbitkan.
Projek 100 lagu 100 tahun adalah dibawah penerbitan World Business Affairs dengan kerjasama Luncai Emas Sdn Bhd yang menjadi rakan kerjasama bagi pengedaran audio dan audio visual di platform platform digital sementara penerbit buku masih dalam perbincangan akhir.
Antara lagu-lagu dalam volume pertama ini ialah lagu tradisional seperti Ulek Mayang dan Nuri Terbang Malam—yang merakamkan akar budaya dan menjadi legenda awal dalam dunia rakaman Melayu—serta karya pop moden seperti Wajahmu Di Mana-Mana (penyanyi asal Azlina Aziz) dan Kenangan Lalu (Penyanyi asal Flybaits) dan Madah Berhelah (penyanyi asal Ziana Zain. Tidak ketinggalan, Getaran Jiwa (penyanyi asal P.Ramlee) dan Penantian (penyanyi asal Kump Harmoni) turut diberi ulasan mendalam, menunjukkan evolusi irama dan lirik yang telah memberi impak besar dalam sejarah muzik tanah air.

Nuri Terbang Malam nyanyian Dato M Nasir yang diluncurkan pada Januari 2025 merupakan single pertama projek ini, adalah lagu yang dipercayai sebagai lagu Melayu pertama yang pernah direkodkan pada piring hitam sekitar tahun 1903 oleh sebuah syarikat rakaman antarabangsa dari United Kingdom, Gramaphone Company. Penyanyi asalnya ialah Qasim.
Lagu Penantian (penyanyi asal Kumpulan Harmoni) dinyanyikan semula oleh Lah Ahmad, menjadi single kedua yang bakal diluncurkan pada 28 Februari 2025. Ciptaan sepenuhnya Allahyarham Zubir Ali yang diterbitkan pada tahun 1981 popular kerana elemen nostalgia muzik puisi.
23 Penggubahan semula lagu lagu dan rakaman dalam vol 1 adalah di bawah terbitan komposer dan pensyarah UUM, Dr Azmeer, sementara 2 lagu termasuk Nuri Terbang Malam diterbitkan oleh Datuk M.Nasir.
Profesor Emeritus Dato ’Seri Dr. M. Mustafa Ishak menyatakan, “Kami berbangga dapat mempersembahkan koleksi lagu yang mengukuhkan sejarah muzik Melayu. Sentuhan seni daripada kedua-dua Dr Azmeer dan Dato M. Nasir memberi jaminan bahawa nilai budaya dan keaslian lagu-lagu ini kekal relevan dalam era moden.”
Kata M.Nasir pula, “Sebagai seorang penggiat seni, saya ingin membawa karya Nuri Terbang Malam ini ke generasi baharu tanpa melupakan asal-usulnya. Lagu ini adalah sebahagian daripada sejarah muzik kita dan tugas kita adalah untuk mengabadikannya.”
“Luncai Emas bersetuju menjadi rakan kerjasama bagi pengedaran audio dan visual ke pelantar-pelantar digital untuk projek ini kerana merasakan projek ini adalah suatu usaha murni. Ia sebenarnya seiring dengan hala tuju Luncai Emas yang ingin mengangkat dan mengiktirafkan karya hebat dengan memperdengarkan kembali kepada generasi muda tetapi mengikut citarasa semasa. Usaha ini juga dapat memberi pendapatan berterusan kepada komposer-komposer yang terlibat“ kata Pengarah Produksi Luncai Emas, En Keon Omar
Sebagai ketua projek, Dr Azmeer turut berkata “Buku yang bakal diterbitkan diharap dapat melestarikan lagu-lagu itu melalui informasi dan ilmu daripada artikel perihal asal-usul lagu ini. Berharap juga buku ini dapat diterima baik dan mampu memberi ilmu dan manfaat serta menarik minat generasi muda mengenali lagu-lagu lama.”
Majlis peluncuran ini adalah untuk meluncurkan Vol 1 projek ini (25 lagu) dan juga sebagai suatu pengumuman awam dan sekaligus seruan agar ada agensi-agensi kerajaan dan swasta yang dapat memberi sokongan dana kepada penerbitan 3 volume seterusnya. Penerbitan Vol 1 adalah dengan sokongan Kementerian Komunikasi di bawah Dana Kandungan Kreatif.
Pelancaran 100 Lagu Dalam 100 Tahun diharap dapat mengukuhkan apresiasi terhadap warisan seni ini serta menghubungkan generasi lama dan baharu melalui keindahan muzik yang abadi.