

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) — ‘Program Akar Powered by AWS re/Start’ oleh PayNet, inisiatif pembangunan bakat yang berprestij, hari ini mengumumkan bahawa tempoh permohonon untuk kohort kedua akan dibuka dari 1 Mac hingga 7 Mac 2025.
Program ini, yang dilancarkan pada tahun 2024, bertujuan menangani keperluan negara untuk tenaga kerja mahir digital dengan membekalkan pelajar universiti dengan kemahiran asas pengkomputeran awan, kemahiran kuasa berteraskan nilai, pengalaman praktikal dalam pembayaran digital dan teknologi, serta akses kepada peluang kerjaya yang menarik.
Faedah Utama Program
Para peserta yang terpilih akan memperoleh:
• Sijil yang Diiktiraf Industri – Pensijilan ‘AWS re/Start Certificate of Completion’, baucar peperiksaan ‘AWS Certified Cloud Practitioner’, Sijil Pembayaran Digital, dan Sijil Program Pengayaan Berteraskan Nilai.
• Pembelajaran Praktikal & Berdasarkan Pengalaman – Latihan praktikal dalam pengkomputeran awan dan pembayaran digital, merangkumi pengaturcaraan, rangkaian, keselamatan dan pangkalan data. Ini juga termasuk pembelajaran berasaskan pengalaman dalam kemahiran kuasa berteraskan nilai seperti pemikiran kritis, empati, daya ketahanan, dan keupayaan penyesuaian.
• Peningkatan Kerjaya – Akses kepada Program Latihan Industri atau jawatan sepenuh masa dengan rakan industri PayNet, serta membuka peluang kerjaya dalam pengkomputeran awan dan pembayaran digital (Nota: Peluang sedemikian kebanyakkannya berasaskan di sekitar Lembah Klang).
Kelayakan dan Perjalanan Latihan
Program ini terbuka kepada pelajar Ijazah Sarjana Muda yang sedang mencari peluang latihan industri atau penempatan dengan sekurang-kurangnya PNGK 3.00 dalam bidang pengajian berikut:
• Sains Komputer
• Kejuruteraan Perisian
• Teknologi Maklumat
• Keselamatan/Keselamatan Siber
• Fintech
• Kecerdasan Buatan
• Kejuruteraan dengan penguasaan dalam bahasa pengaturcaraan
Calon yang terpilih akan menjalani program latihan maya selama 12 minggu yang dibiayai sepenuhnya dari 10 Mac hingga 9 Jun 2025, yang merangkumi bidang utama seperti teknologi awan dan pembayaran digital.
Di samping itu, peserta dikehendaki menghadiri sesi secara bersemuka, termasuk Program Peningkatan Berteraskan Nilai serta majlis pelancaran dan majlis graduasi. Sesi-sesi ini akan diadakan di Lembah Klang di mana peserta dikehendaki menanggung kos perjalanan dan penginapan secara sendiri.
Jalan ke Arah Kerjaya Berjaya
Graduan ‘Program Akar powered by AWS re/Start’ akan memperoleh asas kukuh dalam pengkomputeran awan dan pembayaran digital, yang membuka pintu kepada peluang kerjaya yang menarik dalam industri yang berkembang pesat ini.
Program ini bukan sahaja menyediakan kepakaran teknikal tetapi juga mengasah kemahiran kuasa seperti pemikiran kritis, keupayaan penyesuaian, daya ketahanan, dan empati – kualiti-kualiti utama untuk mencapai kejayaan dalam tenaga kerja masa kini.
Ini adalah peluang unik untuk memperoleh kemahiran yang sangat diperlukan, memperoleh sijil yang diiktiraf industri dan menimba pengalaman praktikal melalui rangkaian industri serta aplikasi dunia sebenar.
Jangan lepaskan peluang mendaftar permohonan anda untuk ‘Program Akar powered by AWS re/Start’. Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila layari www.paynet.my.
Untuk sebarang pertanyaan, sila lawati platform sosial media rasmi PayNet.
Pendaftaran ditutup pada 7 Mac 2025. Jangan lepaskan peluang keemasan ini kerana tempat adalah terhad.