

Jakarta, 25 Februari 2025 – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, semalam mengadakan pertemuan santai namun penuh makna bersama sahabat lama beliau, Wakil Ketua Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) Republik Indonesia, Dr. Hj. Hidayat Nur Wahid.
Pertemuan yang berlangsung dalam suasana penuh keakraban itu menyaksikan perbincangan mendalam mengenai isu serumpun dan kemanusiaan.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua tokoh berpengaruh ini turut menyentuh usaha pembangunan semula Gaza, di mana Malaysia memainkan peranan penting bersama Jepun.
Saifuddin menegaskan bahawa walaupun terdapat perbezaan pandangan, titik temu yang kukuh antara kedua-dua pihak mampu diurus dengan bijaksana dalam semangat muhibah.
“Hubungan persahabatan yang telah lama terjalin ini menjadi asas kepada perbincangan yang amat bermakna. Kami bersetuju bahawa banyak perkara boleh diselesaikan melalui dialog sebegini,” ujar beliau dalam satu hantaran ringkas di Halaman X beliau selepas pertemuan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Dr. Hj. Hidayat Nur Wahid atas kesediaan meluangkan masa untuk pertemuan tersebut, yang menurutnya bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah membuka ruang untuk menyelesaikan pelbagai isu bersama.
“Insya-Allah, sampai ketemu lagi,” tambahnya dengan nada penuh optimisme.
Pertemuan tersebut dilihat sebagai satu lagi langkah positif dalam memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Indonesia, sambil menzahirkan komitmen bersama terhadap isu kemanusiaan di peringkat global.