
Oleh:Muhammad Syafiq Mohd Fuad

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh keberkahan dan bulan yang dilimpahkan rahmat kasih sayang Allah SWT. Bulan tersebut tidak didapati oleh sesiapa melainkan dengan keizinan dan kehendak Allah SWT. Oleh itu, Allah SWT telah menjelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” Hakikatnya, kita sebagai umat Islam haruslah berasa syukur dengan nikmat bulan Ramadhan yang diberikan oleh Allah SWT. Hal demikian, kita patut mengetahui keutamaan di awal bulan Ramadhan supaya kita dapat menyucikan dan memperbaiki diri kita dalam fasa awal di bulan Ramadhan kerana fasa bulan Ramadhan yang pertama dikenali dengan fasa kerahmatan. Lantas, apakah tindakan yang patut kita lakukan agar kita dapat merealisasikan fasa pertama di bulan Ramadhan?.
Sebagai permulaan, fasa kerahmatan merupakan fasa yang istimewa dalam bulan Ramadhan. Oleh sebab itu, umat islam perlu memperbaiki niat agar mendapat rahmat daripada Allah SWT. Hal demekian, Nabi Muhammad SAW telah bersabda “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya”. Berdasarkan hadis tersebut, para ulama sering mengambil berat tentang hadis tersebut sehingga mereka akan menyiapkan diri mereka dengan beribu-ribu niat sebelum masuk di bulan Ramadhan. Lantas, umat Nabi Muhammad SAW wajib menyenaraikan niat-niat yang hendak dilakukan dalam bulan Ramadhan supaya kita dapat merealisasikan fasa pertama dengan limpahan rahmat Allah SWT dan kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT.
Selain itu, pada fasa petama iaitu fasa kerahmatan ini boleh direalisasikan oleh umat Nabi Muhammad SAW dengan menyambut bulan Ramadhan dengan kegembiraan dan kesyukuran. Tambahan pula, masyarakat Malaysia menyambut bulan Ramadhan dengan kehadiran bazar Ramadhan di tempat tertentu. Hal demikian, masyarakat setempat dapat merasakan kegembiraan hanya berlaku di bulan Ramadhan. Selain itu, perkara yang dapat menggembirakan ialah berbuka puasa beramai-ramai di masjid. Hal tersebut bertepatan dengan hadis yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Orang yang berpuasa memiliki dua kebahagiaan; kebahagiaan ketika tiba waktu berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabb-nya” (HR Ahmad). Rahmat dan kasih sayang Allah SWT dapat dirasai dengan lebih mendalam melalui suasana yang tenang di sekeliling kita, terutama ketika bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini. Inilah waktu yang sangat istimewa di mana hati kita disirami dengan ketenangan dan limpahan kasih-Nya, membawa kita lebih dekat kepada-Nya.
Seterusnya, bulan Ramadhan itu terdapat fasa kerahmatan kerana keberkatan al-Quran. Atas sebab demikian, tidak hairanlah amalan membaca al-Quran sering diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan. Antaranya di dalam al-Quran telah difirmankan oleh Alllah SWT yang bermaksud “Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah”. Justeru, para ulama mengambil berat dengan amalan membaca Al-quran kerana mereka mengetahui rahmat dan ganjaran yang diberikan oleh Allah SWT kepada orang yang membaca al-Quran pada bulan Ramadhan. Oleh itu, umat Islam haruslah menyempurnakan ibadah berpuasa dengan membaca al-Quran kerana terdapat banyak keistimewaan dan keberkahan yang ada pada al-Quran dan bulan Ramadhan supaya kita dapat memperolehi kasih sayang rahmat dari Allah SWT di dunia dan di akhirat.
Di samping itu, fasa kerahmatan pada sepuluh hari pertama di bulan Ramadhan perlu diraikan oleh para umat Nabi Muhammad dan mengikut jejak langkah baginda dengan menjadi seorang yang lebih dermawan pada bulan Ramadhan seperti di dalam sebuah hadis yang bermaksud dari Ibnu Abbas, ia berkata: “Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan, dan beliau lebih dermawan lagi pada bulan Ramadhan” (HR Ahmad). Hal berikut, masyarakat tidak boleh mengabaikan hak dan kewajipan sesama makhluk dengan menjaga hubungan dengan manusia iaitu ‘hablun minannas‘ dalam kehidupan seharian. Maka, para ulama memberi satu garis amalan kepada umat Islam dengan menyediakan anggaran untuk bersedekah kepada fakir miskin atau ke dalam tabung masjid di setiap waktu Subuh selepas solat berjemaah. Lantas, amalan bersedekah itu juga mampu untuk mengeratkan hubungan kita sesama makhluk dan diampuni oleh Allah SWT dengan kasih sayang rahmatnya.
Secara keseluruhannya, kasih sayang Allah SWT di dalam bulan Ramadhan itu kerana Alllah SWT menggandakan pahala pada setiap amalan yang dilakukan oleh hambanya di bulan Ramadhan. Tambahan pula, hambanya yang sering melakukan dosa di setiap masa juga diampuni oleh Allah SWT jika hambanya bertaubat di bulan Ramadhan dan bersungguh-sungguh berpuasa dengan keimanan di dalam bulan Ramadhan. Hal demikian seiring dengan sebuah hadis dari Nabi Muhammad SAW yang bersabda: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman kepada Allah dan mengharapkan pahala, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lampau”. (HR al-Bukhari dan Muslim). Jelaslah bahawa, fasa kerahmatan Allah SWT perlu direalisasikan dengan bersungguh-sungguh supaya kita dapat mengisi masa di seluruh bulan Ramadhan dan mendapat rahmat oleh Allah SWT sepanjang bulan Ramadhan.

Muhammad Syafiq Mohd Fuad, Mahasiswa Tahun Akhir, Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir.