

KUALA LUMPUR, 24 Februari 2025 – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) teguh memegang komitmen untuk memastikan setiap murid menerima pendidikan berkualiti, khususnya dalam menguasai kemahiran asas membaca, menulis, dan mengira (3M).
Komitmen ini menjadi fokus utama melalui Teras 4 Nadi Keunggulan KPM, yang memberikan perhatian khusus kepada isu literasi dan numerasi.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Wong ketika menjawab soalan lisan di Parlimen hari ini, cabaran dalam memastikan murid Tahun 1 menguasai 3M tidak hanya bergantung pada aspek pedagogi, tetapi juga dipengaruhi oleh faktor sosioekonomi, tahap kesediaan murid, dan persekitaran pembelajaran di rumah.
“Kami memerlukan pendekatan bersepadu yang melibatkan ibu bapa, komuniti, dan sektor swasta untuk memberikan sokongan menyeluruh kepada murid,” katanya.
Sebagai usaha strategik, KPM telah melancarkan Intervensi Kurikulum KPM untuk Sesi Akademik 2024/2025, yang merangkumi lima inisiatif utama.
Salah satunya ialah Pengesanan Awal Literasi dan Numerasi untuk murid Tahun 1, dijalankan selepas tiga bulan sesi persekolahan untuk mengenal pasti murid yang memerlukan bantuan tambahan.
Berdasarkan penemuan awal, 27.42 peratus atau 122,062 murid dikenal pasti memerlukan intervensi, seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Program Intervensi Fasa 1, dilaksanakan dari Julai hingga September 2024, berjaya membantu 39.58 peratus atau 48,308 murid menguasai 3M. Baki 60.42 peratus atau 73,754 murid meneruskan intervensi dalam Fasa 2, yang berlangsung Oktober hingga Disember 2024. Hingga 31 Januari 2025, data menunjukkan 32.65 peratus atau 24,077 murid daripada kumpulan tersebut kini menguasai asas 3M.
Secara keseluruhan, 59.30 peratus atau 72,385 murid Tahun 1 yang terlibat dalam program ini berjaya mencapai kemahiran asas 3M pada 2024.
Bagi murid yang masih memerlukan bantuan, mereka akan menyertai Program Pemulihan Khas di Tahun 2.
Sementara itu, KPM juga mengukuhkan kerjasama dengan Kementerian Kewangan melalui Program Anak Kita (3M), yang dipimpin oleh Unit Pantau Madani dan Yayasan Hasanah. Program ini melibatkan 1,288 sekolah dan 53,252 murid, memperlihatkan usaha bersepadu untuk meningkatkan literasi dan numerasi.
Ke hadapan, KPM merancang untuk memberi tumpuan khusus kepada literasi dan numerasi dalam Kurikulum Prasekolah 2026 dan Kurikulum Persekolahan 2027, terutamanya untuk murid Tahap 1, sebagai langkah jangka panjang memastikan pendidikan berkualiti.