

Jakarta, 24 Februari 2025 – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memulakan lawatan kerja tiga hari di Jakarta pada pagi ini dengan menerima taklimat daripada pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia, yang diketuai oleh Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman.
Sesi taklimat itu merupakan persediaan awal sebelum Menteri memulakan siri pertemuan rasmi bersama pimpinan Kerajaan Republik Indonesia.
Pertemuan tersebut bertujuan membincangkan isu berkaitan portfolio Kementerian Dalam Negeri, sekaligus menjadi susulan kepada lawatan kerja rasmi Presiden Republik Indonesia, Bapak Prabowo Subianto, ke Malaysia pada Januari lalu.
Hadir sama dalam taklimat tersebut ialah Duta Besar Malaysia ke Indonesia, TYT Dato’ Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin.
Sesi itu memperincikan beberapa perkara penting termasuk isu keimigresenan, kawalan sempadan, pengurusan tahanan, serta topik lain yang menjadi keutamaan bersama kedua-dua negara.
Dalam satu hantaran di halaman X , Saifuddin menekankan bahawa sebagai negara serumpun, hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia ibarat keluarga besar yang akan terus diperkukuhkan demi kebaikan rakyat kedua-dua belah pihak.
“Insya-Allah, kerjasama ini akan membawa manfaat besar kepada kedua-dua negara,” ujar beliau.
Lawatan terwebut dijangka memperkukuh lagi hubungan diplomatik dan kerjasama strategik antara Malaysia dan Indonesia dalam menangani isu bersama yang berkaitan dengan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.