

Tawau, 23 Februari 2025 – Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, hari ini merasmikan pejabat baharu UMNO Bahagian Kalabakan di Taman Ria Height, Tawau, bersempena Sambutan Ulang Tahun UMNO Sabah ke-34.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan keyakinan bahawa pejabat baharu yang dilengkapi fasiliti moden dan selesa ini akan menjadi nadi utama dalam usaha memperkukuhkan parti serta membakar semangat perjuangan di kalangan ahli.
“Dengan adanya kemudahan ini, ia akan menjadi pusat gerak kerja yang lebih efisien untuk menyokong agenda parti,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop, serta seluruh kepimpinan dan ahli UMNO Kalabakan atas kejayaan pelancaran bangunan tersebut.
Beliau berharap pejabat baharu ini akan menjadi medan strategik untuk merancang dan melaksanakan agenda perjuangan demi kemakmuran rakyat dan negeri Sabah.
“Semoga usaha ini mendapat keberkatan, Insya-Allah,” tambahnya.