

KUALA LUMPUR, 23 Februari 2025 – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menegaskan bahawa keutamaan utama Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah memastikan pelaksanaan tugas berkaitan ‘core business’ kementerian dilaksanakan dengan cekap dan pantas.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Mesyuarat Perancangan Strategik KDN hari ini, di hadapan barisan pengurusan kementerian.
Menurut beliau, dua hari lalu, beliau menyertai sesi permukiman tertutup bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Jemaah Menteri di Pusat Latihan Petronas selama dua hari dua malam.
Dalam sesi tersebut, Perdana Menteri menyampaikan mesej penting yang menjurus kepada keperluan mempercepatkan kadar pelaksanaan perubahan di semua peringkat.
“Secara keseluruhan, Perdana Menteri berpandangan bahawa selepas dua tahun, kita berada di landasan yang betul dan bergerak ke arah yang tepat. Namun, cabaran utama adalah kadar pelaksanaan perubahan yang masih perlu dipercepatkan. Dasar dan strategi sudah mantap, tetapi pelaksanaan perlu lebih pantas,” kata Saifuddin.
Beliau menambah, tugas KDN kini adalah mengenal pasti punca kelewatan dalam pelaksanaan dasar serta mencari penyelesaian segera. Sebagai contoh, kejayaan meminda Perlembagaan merupakan pencapaian besar, namun kerja-kerja selepas itu seperti meneliti Akta, peraturan kewarganegaraan, dan prosedur operasi standard (SOP) perlu dipercepatkan untuk memastikan dasar diterjemahkan dengan efektif.
Saifuddin turut menyentuh penekanan Perdana Menteri terhadap sikap ‘humility’ atau rendah hati dalam kepimpinan.
“Kita perlu terbuka menerima teguran dan memperbaiki kelemahan demi kepentingan negara,” ujarnya.
Saifuddin juga menegaskan bahawa segala usaha membangunkan dasar akan menjadi sia-sia jika terganggu oleh masalah integriti.
“Setiap individu dalam kementerian bertanggungjawab memastikan tindakan kita bersih dan telus,” katanya.
Beliau turut berkongsi pengalaman menerima teguran daripada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sungai Golok mengenai kemudahan yang daif.
“Saya tidak marah, sebaliknya kembali ke sana dan membuktikan komitmen dengan menaik taraf kemudahan mereka. Ini contoh bagaimana kritikan boleh jadi pemangkin perubahan positif,” tambahnya.
Saifuddin turut menekankan kepentingan penggunaan teknologi baharu seperti Kecerdasan Buatan (AI) dalam operasi KDN.
“Kita sudah mula mengorak langkah dengan aplikasi AI, termasuk dalam sistem autogate imigresen dan pengecaman wajah di sempadan. Jika kita tidak mengadaptasi AI sekarang, kita bukan hanya ketinggalan tiga bulan, tetapi mungkin 30 tahun,” tegasnya.
Beliau memaklumkan bahawa KDN akan mempercepatkan latihan dan pembangunan kemahiran AI dalam kalangan pegawai dan anggota bagi memastikan kementerian kekal relevan dan berprestasi tinggi.
“Dengan komitmen dan kesungguhan semua pihak, saya yakin KDN akan terus menjadi kementerian yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara,” katanya.