

PUTRAJAYA, 23 Februari 2025 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pagi ini melawat Pusat Beli Belah Alamanda di Putrajaya bagi menyokong usaha menghidupkan semula pusat beli belah tersebut agar kembali menjadi mercu tanda utama di ibu kota pentadbiran ini, sebagaimana statusnya ketika mula beroperasi lebih dua dekad lalu.
Dalam hantarannya di Halaman X, Perdana Menteri menegaskan bahawa inisiatif seumpama ini bukan sahaja bertujuan merancakkan sosioekonomi dan menyerikan suasana, tetapi turut menyediakan kemudahan riadah demi kesejahteraan keluarga dan generasi muda, selari dengan visi MADANI yang diperjuangkan kerajaan.
Mengambil kesempatan dalam ucaptama beliau, Datuk Seri Anwar berkongsi pengalaman dan pemerhatian semasa lawatan kerja ke beberapa negara, di mana beliau menyaksikan kesungguhan global membincangkan isu teknologi terkini, transformasi digital, kecerdasan buatan (AI), serta peralihan tenaga. Beliau menekankan bahawa pendekatan serupa telah diterapkan oleh Kerajaan MADANI, sehingga berjaya menarik perhatian pemimpin dunia untuk menjalin kerjasama dengan Malaysia dalam pelaburan dan perdagangan.
“Kerjasama ini telah membuahkan hasil dengan kemasukan pelaburan besar daripada syarikat gergasi seperti Google, Microsoft, Amazon Web Services, dan Oracle. Ini adalah bukti keyakinan pelabur terhadap Malaysia, sekaligus menyangkal tohmahan yang mempertikaikan keberkesanan usaha Kerajaan MADANI dalam memacu ekonomi negara,” ujar beliau.
Menurut Perdana Menteri, Malaysia memiliki potensi luar biasa, namun kejayaan sukar dicapai sekiranya rakyat dan pemimpin terus terbelenggu dalam pertelingkahan kecil atau menjadi alat mempertahankan individu korup yang mengumpul kekayaan ratusan juta ketika berkuasa. Beliau menyeru agar wacana yang lebih segar dan membina diangkat untuk mencetuskan idea-idea bernas bagi pembangunan negara, berbanding isu-isu remeh yang hanya membakar api kebencian dan prasangka antara kaum mahupun agama.
Dalam pada itu, dengan kedatangan Ramadan yang semakin hampir, Anwar menyeru rakyat mengambil peluang bermuhasabah serta mendidik diri dengan nilai disiplin, ihsan, dan kasih sayang.
“Semoga kita terus melangkah ke hadapan dengan tekad yang lebih kukuh, Insya-Allah,” tambah beliau.