

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) — Waktu operasi 10 kaunter Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) akan dilanjutkan bagi memberi ruang kepada pembayar menunaikan kewajipan berzakat sebelum berakhir tahun 2024.
Bermula 23 hingga 31 Disember 2024, semua kaunter PPZ-MAIWP akan beroperasi bermula 8.00 pagi sehingga 9.00 malam kecuali di UTC Pudu Sentral sehingga 8.00 malam.
Pembayar yang mengunjungi kaunter PPZ-MAIWP akan mendapat cenderahati istimewa seperti shopping bag eksklusif, kalendar 2025 dan banyak lagi. Sempena hujung tahun ini, pembayar zakat yang berurusan di kaunter-kaunter PPZ-MAIWP akan disediakan dengan jamuan ringan, serta booth asnaf dan rakan strategik.
Selain itu, pembayar juga boleh membuat bayaran zakat secara online melalui portal PPZ-MAIWP di www.zakat.com.my, Aplikasi MyZakat atau melalui ejen seperti perbankan internet dan juga e-Wallet.
Bagi pembayar yang tidak berkesempatan untuk mengunjungi kaunter PPZ-MAIWP dan mahukan perkhidmatan secara personal boleh mendapatkan perkhidmatan Amil2U di mana pegawai kami akan terus ke lokasi pembayar untuk urusan pembayaran zakat. Tempahan boleh dibuat di mytemujanji.zakat.com.my.
PPZ-MAIWP turut menawarkan perkhidmatan Zakat Just One Call Away di mana pembayar boleh menunaikan zakat dengan hanya talian zakat kami di 1 300 88 5757.
PPZ-MAIWP menyeru orang ramai agar segerakan bayaran zakat di PPZ-MAIWP pada atau selewat-lewatnya 31 Disember 2024 bagi mendapatkan 100% rebat cukai pendapatan tahun taksiran 2024.
Sempena Kempen Year End Zakat 2024, pembayar juga berpeluang untuk memenangi pakej umrah dan lebih 1,500 hadiah menarik yang akan diumumkan pada Februari 2025.